Tazkirah Ramadhan

Keutamaan Sepuluh Hari Terakhir Ramadhan

Sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sangat istimewa dibandingkan hari-hari lain. Pada hari-hari tersebut , Nabi s.a.w bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan ibadah. Dalam kitab Sahih Muslim disebutkan sebuah riwayat dari ‘Aisyah r.a bahawa Nabi s.a.w bersungguh-sungguh dalam beribadah disepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Dalam kitab Sahih Bukhari Muslim juga disebutkan bahawa ‘ Aisyah berkata:
“Ketika memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan Nabi s.a.w mengencangkan kain sarungnya, menghidupkan waktu malamnya da membangunkan keluarganya” (hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam kitab Musnad Imam Ahmad, ‘Aisyah berkata:
“Nabi s.a.w mengisi waktu dua puluh hari pertama dengan solat dan tidur, tetapi jika telah memasuki sepuluh hari terakhir beliau pun bersungguh-sungguh dan mengencangkan kain sarungnya” (hadith riwayat Ahmad)

Pada sepuluh hari terakhir ini Nabi s.a.w bersungguh-sungguh dengan kesungguhan yang lebih besar daripada kesungguhannya pada malam-malam atau hari-hari yang lain, dengan mengerjakan solat, membaca Al-Quran, berzikir, mengeluarkan sedekah dan sebagainya. Pada saat-saat tersebut, Nabi s.a.w mengencangkan kain sarungnya, yakni menjauhkan dirinya dari isteri-isterinya dan menghabiskan semua waktunya untuk solat dan berzikir. Selain itu, Nabi s.a.w. juga menghidupkan waktu malamnya dengan melakukan Qiamul Lail, membaca Al-Quran dan berzikir baik dengan hari, lidah mahupun dengan anggota badan yang lain. Semua itu dilakukan oleh Nabi s.a.w kerana kemuliaan malam-malam tersebut, kerana di dalamnya terdapat malam Lailatul Qadar, iaitu suatu malam jika seseorang menghidupkannya dengan penuh keimanan dan dengan penuh pengharapan, maka Allah T’ala akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu.

Nabi s.a.w menghidupkan seluruh malamnya dengan beibadah kepada Tuhannya baik dengan zikir, membaca Al-Quran, mengerjakan solat, melakukan persiapan sebelum solat, makan sahur dan sebagainya.

Diantara sikap Nabi s.a.w yang menunjukkan keutamaan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan adalah Nabi s.a.w selalu membangunkan keluarganya pada malam-malam tersebut untuk mengerjakan solat dan berzikir. Ini dimaksudkan agar mereka mengisi malam-malam itu dengan melakukan ibadah-ibadah yang baik. Sebab malam-malam tersebut merupakan peluang emas yang Allah Ta’ala kurniakan. Ketahuilah bahawa malam-malam itu merupakan malam-malam yang jumlahnya sedikit dan terbatas. Pada malam-malam itu, dapat jadi seseorang yang akan menemukan salah satu kurnia atau pemberian dari Tuhannya. Kurnia itu akan menjadi kebahagian baginya baik di dunia mahupun di akhirat.

Nabi s.a.w selalu melakukan I’tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Dalam kita sahih Bukhari dan Muslim disebutkan bahawa ‘Aisyah berkata:

“Nabi s.a.w selalu beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan hingga Allah mewafatkannya. Kemudian isteri-isterinya juga selalu beri’tikaf pada hari-hari itu setelah Baginda wafat” (hadith Bukhari dan Muslim)

I’tikaf bermaksud upaya untuk selalu berada di masjid dengan tujuan menfokuskan diri dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Ta’ala. I’tkaf merupakan salah satu sunnah yang telah ditetapkan dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulnya.

“Jangan kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri’tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya, demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka bertaqwa” (Surah Al-Baqarah : ayat 187)

Petikan : Hikmah dan Madrasah Ramadhan – Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni.